Memaparkan catatan dengan label Natipah / Nortipah Binti Abdul Kadir. Papar semua catatan

Biodata Natipah @ Nortipah Binti Abdul Kadir  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kepimpinan dan Ketokohan Adiguru Natipah@Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Puan Nortipah Binti Abdul Kadir menetap di Pulau Keladi sejak dilahirkan. Calon mempunyai pertalian darah dengan Al-Mahrum Keraing Aji (Tuk Tuan) yang menjadi pelopor kain tenun Pahang danmengikut salasilah keluarga penenun ini adalah generasi ke 12 yang masih mengusahakan Tenun Sutera Pahang. Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan Pekan.


Kemahiran menenun ini diwarisi sejak zaman remaja lagi. Minat yang mendalam menyebabkan calon mudah menerima segala yang dipelajari. Sehingga kini calon merupakan satu-satunya pewaris Tenun Sutera Pahang yang masih aktif.

Beliau mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk bergiat secara serius dalam bidang tenunan ini. Usaha yang tidak mengenal jemu dan putus asa ini telah membuahkan hasil. Beliau banyak menerima tempahan daripada kerabat diraja, pembesar-pembesar negara dan individu. Beliau juga adalah di antara penenun yang dikenali dan disegani.

Walaupun kemahiran beliau dalam bidang tenunan telah diketahui, namun demikian beliau masih berusaha menimba pengetahuan dengan menyertai pelbagai bengkel dan seminar antaranya:

  • Bengkel Pewarnaan Semulajadi Sarawak anjuran PKKM
  • Bengkel Tenun Ikat Pakan anjuran PKKM
  • Bengkel Seni Gerus dan Seni Telepuk anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia

Kreativiti dan Inovasi Natipah@Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Arus perubahan masa turut mempengaruhi perkembangan pengeluaran fabrik tempatan dan termasuklah juga kain-kain Tenun Pahang. Sebagai seorang pengusaha dan pengeluar fabrik tenunan, beliau sedikit sebanyak mengadaptasi pembahuruan tersebut. Sungguhpun demikian beliau memastikan ciri-ciri tradisional terutama pada reka corak dan petua-petua lama dipatuhi untuk mengekalkan identiti kain Tenun Pahang yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan kain tenun.

Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran khususnya dalam menghasilkan reka corak kain tenun. Antara corak kain yang dicipta dan ditenun ialah corak tapak catur bunga emas berkepala anak lebah, kain corak Pahang berkepalakan anak lebah.

Menurut beliau lagi kain Tenun Pahang mempunyai identiti tersendiri iaitu dibahagian gigi (kaki) kain yang ditenun dihiasi dengan corak sepit udang, Reka corak inilah yang membezakannya di antara kain tenun Pahang dengan kain tenun dari negeri-negeri lain.


Bagi menjamin kualiti kain yang dihasilkan calon mengendalikan sendiri proses-proses menenun dari awal sehingga akhir. Beliau mempunyai kemahiran dalam menghasilkan warna-warna dari bahan semulajadi. Ini adalah kerana sebelum warna sintetik diperkenalkan beliau mewarnakan benang-benang sutera dengan warna-warna semulajadi tersebut.

Sebagai pewaris seni kain Tenun Pahang, calon masih mengamalkan dan mematuhi beberapa pantang larang dan petua-petua yang telah diturunkan dengan memilih hari Khamis untuk memulakan kerja-kerja menenun. Amalan-amalan tradisi yang tersirat dengan pelbagai falsafah dan pantang larang ini merupakan sebahagian daripada penghayatan beliau dalam mengekalkan identiti dan menghasilkan kain Tenun Pahang.

Beliau juga memberi petua mengenai penjagaan kain sutera supaya ianya tidak mudah luntur atau lusuh. Limau nipis digunakan untuk membasuh kain tenun Pahang dan kemudian dibilas dengan air bersih. Kain yang telah dibilas diregang dan dijemur di tempat redup.

Kencintaan dan penghayatan beliau pada seni warisan ini dapat dilihat pada himpunan koleksi kain tenun lama warisan keluarga yang masih disimpan dengan baik dan terpelihara.

Beliau masih bersemangat untuk melestarikan fabrik tenunan tradisi ini dengan mengekalkan corak lama dan sentuhan moden selaras dengan perubahan dan peredaran zaman.

Beliau juga mempunyai kemahiran menenun Kain Limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus dan juga membuat sulaman tekat gubah.

Pengalaman, Penglibatan dan Pencapaian Natipah@Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Beliau mempelajari kemahiran menenun daripada ibu serta nenek pada usia remaja. Minat yang mendalam menyebabkan beliau mengambil keputusan mengusahakan kegiatan menenun secara serius dan sepenuh masa.

Kegigihan dan komitmen beliau yang tinggi dalam mempertahankan warisan tenunan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Pahang. Sebuah pusat kraftangan telah didirikan di Pulau Keladi yang terletak 5 km dari Pekan Bandar Diraja. Beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan penenun yang menjalankan kegiatan mereka di pusat ini. Pusat kraftangan yang didirikan pada tahun 1980an ini merupakan pusat tenunan yang terbesar di Pahang dan telah menyediakan peluang kepada penenun bekerja dan menjual hasil tenunan mereka.

Di samping mengusahakan tenunan yang ditempah, beliau juga turut meluangkan masa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada 15 orang pelatih di Pusat Tenun Pulau Keladi ini termasuk juga kakitangan dan pelatih-pelatih dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau turut mewariskan kemahiran ini kepada anaknya yang mengusahakannya secara sepenuh masa.

Keindahan kain tenunan beliau turut mendapat pengiktirafan antaranya:
  • Anugerah Rekaan Kraf 1996/97 – anjuran PKKM
  • Penghargaan Wicitra 1990 – anjuran PKKM
  • Penghargaan daripada Kementerian Pertanian
  • Kejayaan calon turut mendapat liputan media masa tempatan

Adiguru Kraf Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tenun Pahang Diraja merupakan antara tekstil keluaran tempatan yang sering mendapat perhatian. Kemahiran menenun ini dipercayai telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahun lampau. Nortipah Abdul Kadir yang dilahirkan pada 8 November 1944 di Pulau Keladi adalah antara tokoh tenun Pahang yang disegani. Beliau merupakan generasi ke 12 Keraing Aji (Tok Tuan) iaitu salah seorang pembesar Bugis yang berhijrah ke Pahang dan telah menghidup dan memajukan semula kegiatan menenun di kalangan masyarakat tempatan.

Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan Pekan. Nortipah memperoleh kemahiran menenun ini sejak zaman remaja lagi. Minat yang mendalam menyebabkan beliau mudah menerima segala yang diajarkan. Sehingga kini beliau merupakan satu-satunya pewaris tenun sutera Pahang yang masih aktif. Beliau juga mahir menenun kain limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus dan juga membuat sulaman tekat gubah. Pada tahun 2006 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa.

Salasilah Keluagra Natipah dalam Warisan Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sijil-Sijil Puan Natipah @ Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


 
 
 
 

 
 
 

Keratan Akhbar Berkenaan Puan Natipah @ Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :