Manual Anugerah Tokoh Kraf Negara 2004  

Ditulis

TUJUAN
Memberi galakan dan semangat kepada pengusaha kraf berkemahiran supaya lebih kreatif, inovatif dan produktif agar dapat mempertahankan seni kraf tempatan di samping menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

OBJEKTIF
Memberi pengiktirafan atau penganugerahan kepada pengusaha kraf berkemahiran atau individu yang telah banyak memberi sumbangan dalam usaha memulih, memelihara, serta memartabat seni kraf warisan negara.

ISTILAH / TERMINALOGI

Kraf :
“apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan… (Akta 222 : Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979).
Tokoh Kraf :
Seseorang yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik serta telah menunjukkan ketokohan dan mencetuskan idea yang bernas, kreatif, serta asli untuk menghasilkan seni kraf yang mempunyai nilai estetika, identiti dan berkualiti. Ketokohan beliau membantu ke arah pembinaan dan pengembangan seni warisan kraf selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Anugerah :
Sesuatu pengurniaan atau pengiktirafan tertinggi diberikan kepada individu yang telah menabur jasa, memberi sumbangan yang besar dan mencapai kecemerlangan dalam kerja-kerja yang dijalankan.
Ketokohan Yang Cemerlang :
Seseorang yang telah menunjukkan bakat dan kredibiliti yang tinggi dalam bidang seni kraf dari segi kemahiran, kemampuan serta kebolehannya menghasilkan barangan bermutu tinggi yang bermanfaat kepada pengukuhan kebudayaan kebangsaan dan ketinggian martabat manusia.
Panel :
Sebuah badan penilai yang anggotanya dilantik oleh Kraftangan Malaysia. Terdiri daripada pakar-pakar yang terkenal dan berwibawa dalam bidang masing-masing.
Warisan :
Seni kemahiran yang dimiliki atau diamalkan sejak turun-temurun serta mempunyai identiti tersendiri.
Masyarakat Malaysia :
Rakyat yang bermastautin di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Tradisional :
Amalan atau pekerjaan biasa dilakukan sejak turun-temurun.

SKOP KRAF WARISAN
Kraftangan Malaysia menetapkan skop asas untuk pencalonan Anugerah Tokoh Kraf Negara seperti:
  • Tembikar / Seramik
  • Hasil Rimba (kayu, mengkuang, rotan, buluh dan yang berkaitan)
  • Tekstil ( tenunan, songket, pua, dastar, batik, tekatan dan yang berkaitan)
  • Logam (perak, tembaga dan yang berkaitan)
PENGIKTIRAFAN TOKOH
Pengiktirafan Tokoh Kraf Negara diadakan 2 tahun sekali sekiranya terdapat calon yang menepati kriteria yang telah ditetapkan. Pihak Jawatankuasa Penilai mempunyai hak untuk tidak membuat pengiktirafan sekiranya tiada calon yang layak.


KEMUDAHAN DAN PENGHARGAAN 
  • Wang tunai RM60,000.00 
  • Sepersalinan Lengkap Songket RM1,500.00 
  • Tambang Perjalanan dan Sara Hidup RM1,500.00 
  • Watikah Perlantikan 


SKOP AKTIVITI TOKOH KRAF NEGARA

Tamu Kehormat dan Pakar Rujuk
Menjadi pakar rujuk, pencipta, tamu kehormat dalam bidang berkaitan serta menjadi wakil KRAFTANGAN MALAYSIA di seminar / forum di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Aktiviti Pemulihan Keluaran Barangan
Bersedia untuk menghasilkan barangan yang menjadi kepakaran Tokoh Kraf untuk KRAFTANGAN MALAYSIA.Segala perbelanjaan seperti upah kerja, bahan dan aksesori dibiayai oleh KRAFTANGAN MALAYSIA. Barangan yang dihasilkan menjadi hak milik KRAFTANGAN MALAYSIA untuk tujuan simpanan, peragaan dan promosi.
Aktiviti Demonstrasi Kemahiran
Bersedia menyertai aktiviti demonstrasi anjuran KRAFTANGAN MALAYSIA berkaitan teknik dan proses pengeluaran kraf mengikut bidang kemahiran Tokoh Kraf.
Aktiviti Latihan Kemahiran
Bersedia untuk memberi penerangan, tunjuk ajar dan bimbingan kepada pelatih serta kumpulan sasar yang ditentukan oleh KRAFTANGAN MALAYSIA mengikut jangka waktu yang ditetapkan.
Aktiviti Dokumentasi
Bersedia memberi kerjasama dan membenarkan KRAFTANGAN MALAYSIA membuat kajian, soal selidik, temubual dan penggambaran bagi tujuan penerbitan dokumentasi berkaitan aktiviti serta kegiatan harian Tokoh Kraf .

TUNTUTAN HAK MILIK
Segala bahan yang didokumentasikan oleh KRAFTANGAN MALAYSIA adalah menjadi hak milik KRAFTANGAN MALAYSIA.
Tokoh Kraf tidak boleh membuat tuntutan hakcipta atau tuntutan royalti ke atas semua bahan penerbitan yang berkaitan dengan diri Tokoh Kraf.
Pihak KRAFTANGAN MALAYSIA boleh mempamer, menghebah atau mengiklan barang-barang dan bahan dokumentasi seseorang Tokoh Kraf.

PENCALONAN

Kriteria Pencalonan
Tokoh yang layak untuk dicalonkan menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara hendaklah memenuhi kriteria berikut:
  • Memperlihatkan keterampilan, ketokohan, kepimpinan dan keintelektualan yang cemerlang dalam meningkat dan mengembangkan mana-mana bidang kraf yang dikuasainya.
  • Memperlihatkan kegigihan dan kesungguhan penglibatan serta memberi sumbangan yang berterusan dalam bidangnya.
  • Menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam mereka cipta dan menghasilkan barang kraf yang bermutu tinggi serta berwibawa.
  • Memperlihatkan ketokohan dalam mengharumkan nama negara bagi industri kraf yang diceburinya.
Kaedah Pencalonan
Tokoh Kraf yang diperakukan untuk menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara hendaklah dicalonkan melalui urusetia mengikut format pencalonan yang disediakan. Pencalonan boleh dikemukakan oleh Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri-negeri, individu, badan korporat serta agensi kerajaan lain.
Menggunakan borang pencalonan yang disediakan oleh KRAFTANGAN MALAYSIA.
Borang pencalonan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan ke alamat:

Urusetia
Anugerah Tokoh Kraf Negara
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Kompleks Kraf K. Lumpur
Seksyen 63, Jalan Conlay
50450 KUALA LUMPUR
(U/P: Bahagian Pemuliharaan)

Syarat Pencalonan:
Seorang pencadang hanya boleh mengemukakan nama seorang calon sahaja.
Pencadang hendaklah mengemukakan hujah secara bertulis berdasarkan :
  • Keterangan mengenai ketokohan, kepimpinan dan keintelektualan calon tersebut dalam meningkat dan mengembangkan mana-mana bidang yang dikuasai.
  • Keterangan mengenai kegigihan dan kesungguhan calon tersebut dalam memberi sumbangan yang berterusan dalam bidangnya.
  • Keterangan mengenai kreativiti calon dalam menghasilkan barangan yang bermutu tinggi.
Calon hendaklah warga negara Malaysia dan bersetuju di atas pencalonannya.
Sekiranya terdapat anggota panel yang dialonkan, maka beliau hendaklah dibebaskan daripada tugas sebagai anggota panel pada tahun beliau dicalonkan, kecuali jika beliau menolak pencalonan tersebut.

Update : 04/01/2013